Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, January 6, 2018

...yang Hilang 2

I’ll be here..always.” Dia yang sedang duduk di kerusi pemandu di dalam kereta memandang ke sebelah kirinya. Farhan tersenyum lebar.
“Kau tak patut ada di sini..” katanya perlahan sebelum meraup wajahnya kemudian mengalihkan pandangan ke luar.
“Aku tak ada di sini Ress.. kau pun tau tu..” Nada suara Farhan yang perlahan membuatkan dia berpaling semula menghadap kerusi pemandu yang kini kosong. Dia mengeluh perlahan.
Tok..tok..tok.
Ketukan di tingkap kereta membuatkannya tersentak, seorang pegawai polis menundukkan badan agar setara dengan tingkap keretanya. Dia menurunkan cermin kereta.
“Selamat pagi, Puan.” Dia menganggukkan kepala sedikit sambil menghadiahkan senyuman nipis kepada pegawai itu.
“Kita kena bersedia di dalam mahkamah sebelum mahkamah mula bersidang, Puan.” Dia menarik nafas panjang.
Okay,” Dia memandang kerusi kosong di sebelahnya, “Aku tahu kau selalu ada dekat aku.. Terima kasih.” Katanya dengan nada berbisik. Dia mengelap hujung mata yang terasa basah.
“Ya Puan?” Pegawai tadi mengerut dahi.
“Em.. Tak ada apa-apa, Ren.. awak masuk dulu. Nanti saya ikut di belakang.” Pegawai itu menganggukkan kepala dan berlalu dari sisi keretanya.
“Ini hanya permulaan.,” Kedengaran suara Farhan di tepinya, “bukan salah kau.. diorang yang mulakan semua ni.” Bagai terasa tepukan perlahan di bahunya, dia menoleh sedikit dan memegang bahunya. “Farhan..aku takut hadapi semua ni sendiri..”
Dia berjalan menuju ke bilik bicara tanpa menyimpan apa-apa harapan kecuali untuk menyelesaikan semua kekusutan yang terjadi dan hidup dengan saki baki cebisan hidupannya yang belum musnah. Semuanya berlalu dengan terlalu cepat, bagaikan patung, dia bangun bila semua orang di dalam bilik bicara itu bangun dan duduk bila semuanya duduk.
“Di dalam Mahkamah-” Jurubahasa mula bersuara selepas sahaja hakim masuk dan duduk, “-kes bernombor 2803-09-17, kes pendakwaraya lawan Muhammad Malik bin Supian.”
“Yang Arif, Saya memohon kebenaran mahkamah yang mulia ini untuk membacakan pertuduhan terhadap tertuduh sekali lagi.” Dia memandang ke arah pendakwaraya yang sedang bersuara.
“Muhammad Malik bin Supian, bahasawanya kamu, pada 3 november 2017….” jurubahasa membacakan pertuduhan selepas menerima kebenaran dari hakim, “jam 2 pagi telah menyebabkan kematian seorang pegawai polis, Mohammad Farhan bin Hanafi dengan menembak mangsa sebanyak tiga kali di bahagian yang berasingan ke badan mangsa, iaitu di kepala, badan dan bahu mangsa..” dia menggenggam tangan kanannya, Ren.. pegawai polis disebelahnya tunduk memandang lantai.. semua yang ada menunjukkan pelbagai reaksi ketika pertuduhan dibacakan, termasuklah pendakwaraya yang kelihatan terganggu bila mendengar pertuduhan itu.
“Pihak pendakwaraya?” Hakim mula bersuara bila pihak pendakwaraya tidak memberi sebarang reaksi apabila dipanggil. Riuh rendah untuk beberapa minit di dalam mahkamah sebelum Hakim meminta semua yang hadir untuk bertenang.
“Maaf Yang Arif..,” Pendakwaraya itu terus berdiri dan menarik nafas panjang untuk seketika, “Pihak Pendakwaraya akan mengemukakan tiga orang saksi pendakwaan, kami memohon kebenaran mahkamah yang mulia ini untuk memanggil saksi yang pertama iaitu Inspektor Dahari bin Raslan.
Inspektor Dahari berjalan masuk, tunduk hormat kepada Hakim sebelum berjalan masuk ke kandang saksi. Jurubahasa mengambil kad pengenalan Inspektor Dahari dan diberkan kepada Hakim untuk catatan. Inspektor Dahari kemudiannya diminta untuk mengangkat sumpah sambil mengangkat tangan.
“Bahawasanya, saya Dahari bin Raslan, mengaku bahawa segala yang akan saya nyatakan dalam perbicaraan ini adalah benar, tidak ada yang tidak benar melainkan yang benar-benar belaka.” Pendakwaraya dan Inspektor Dahari bertukar-tukar soalan dan jawapan sehinggalah pendakwaraya mula bertanya mengenai detik ketika kejadian itu berlaku.
“Saya difahamkan bahawa ketika Inspektor sampai ditempat kejadian, suspek dan mangsa tidak bersendirian. Boleh beritahu saya, siapa lagi yang berada di tempat kejadian?” Inspektor Dahari terdiam seketika.
“Salah seorang dari anggota yang terlibat dalam operasi malam itu sudah berada di tempat kejadian ketika saya sampai di situ.” Inspektor Dahari berkata sambil memandang ke arah pendakwaraya. Mahkamah sunyi seketika. Hanya kedengaran bunyi kasut tumit tinggi milik pendakwaraya yang sedang berundur beberapa tapak dari kandang saksi. Bagaikan memberi ruang kepada Inspektor Dahari.
“Boleh tak Inspektor ceritakan keseluruhan situasi tersebut?” Inspektor Dahari mengangguk sekali apabila disoal oleh pendakwaraya.
“Saya berada lebih 300 meter dari tempat kejadian ketika saya mendengar tembakan yang pertama. Tiga lagi tembakan berturut-turut dalam jarak beberapa saat ketika saya berlari ke tempat bunyi tembakan. Ketika sampai, saya melihat seorang dari anggota saya, sedang berebut pistol dengan suspek dan pistol itu sedang dihalakan kepada mangsa, Inspektor Farhan.” Dari jauh dia melihat senyum kecil kelihatan di wajah pendakwaraya.
“Boleh awak tunjukkan dengan jelas situasi berebut pistol itu?” Inspektor Dahari bergerak keluar dari kandang saksi dan berdiri di hadapan Hakim selepas menerima kebenaran dari Hakim itu sendiri untuk mendemonstasi situasi yang ditanyakan oleh pendakwaraya. Pegawai polis di sebelahnya dipanggil untuk membantu Inspektor Dahari melakukan demontrasi.
Pegawai polis tadi diberikan pistol olok-olok dan diarahkan untuk memegang pistol itu dalam posisi menembak. Inspektor Dahari memeluk pegawai polis tadi dari belakang dan cuba untuk merampas dan mengawal pistol dari tangan pegawai polis tadi. Pegawai polis tadi cuba untuk melepaskan diri dan menggerakkan pistol jauh dari tempat sasaran seperti yang diarahkan oleh Inspektor Dahari. Inspektor Dahari dipersilakan masuk semula ke kandang saksi selepas melakukan demontrasi tadi.  
“Apa yang saya faham selepas melihat situasi tadi, pegawai polis tadi terlebih dahulu berada ditempat kejadian dan..”
“Menjadi tebusan..” Inspektor Dahari mencelah.
“Inspektor.. izinkan saya bercakap dahulu sebelum bersuara.” Pendakwaraya kelihatan terganggu.
“Maaf Puan.. Saya cuma tak mahu anggota saya disalah anggap selepas demonstrasi tadi. Suspek mungkin menjadikan anggota saya sebagai tebusan untuk melepaskan diri…” Pendakwaraya tersenyum palsu.
“Boleh tak beritahu mahkamah nama pegawai tersebut?” Pada saat ini, peguambela hampir bergoyang kaki kerana pendakwaraya seakan tidak begitu memberi tumpuan kepada tertuduh yang sedang dibicara.
Pegawai polis di sebelahnya mengerut dahi.
“Inspektor Ressa” Jawab Inspektor Dahari dengan keluhan. Pendakwaraya bergerak ke meja pihak pendakwa dan mengambil sebuah buku. Dia menyelak-nyelak buku dihadapan kandang saksi.
“Inspektor Teressa Sophia bin Kadir ke yang Inspektor maksudkan?” Inspektor Dahari menganggukkan kepala. Hakim yang memberikan sepenuh tumpuan kepada pembicaraan itu mula mengerut dahi. Tiada siapa tahu ke mana tujuan soalan-soalan yang diutarakan oleh pendakwaraya itu.
“Dalam nota saya, Inspektor Ressa dan Inspektor Farhan adalah dari unit yang berbeza dengan Inspektor. Boleh saya tahu, kenapa mereka terlibat di dalam operasi pada malam itu?” Terdengar bisik-bisik dari hadirin yang hadir.
“Malik, iaitu suspek yang didakwa adalah suspek utama di dalam kes yang disiasat oleh Inspektor Ressa dan Inspektor Farhan." Pendakwaraya terus mengantarkan hujah dan keraguan kepada tertuduh dan kemudian Inspektor Ressa dan kemudian kepada tertuduh sekali lagi. Berselang-seli hinggalah soalan terakhir buat Inspektor Dahari yang membuatkan hakim juga menghantar pandangan pelik kepada pihak pendakwaraya.
“Ketika Inspektor sampai di tempat kejadian, dan melihat Inspektor Ressa berebut pistol dengan suspek..adakah jari Inspektor Ressa berada di picu pistol?” Namun pendakwaraya tidak memberikan peluang untuk Inspektor Dahari menjawab.
“Boleh tunjukkan saya, yang mana satu Inspektor Ressa?” dan semua mata kemudian memandang ke arahnya...

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37