Tiada Drama di Kampus

Iklan

Search This Blog

Saturday, January 20, 2018

...yang Hilang 5

Dia memperlahankan langkah apabila melihat ACP Helmi sedang berbual dengan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang lengkap berpakaian kot di hadapan pintu utama IPD. Dia menggenggam kuat tangan kanannya yang mula mengigil apabila melihat senyuman lelaki itu. Dia melangkah dan berhenti seketika di tengah-tengah antara ACP Helmi dan lelaki itu.
“Jangan seronok sangat Dato -” katanya sambil memandang tajam ke arah lelaki itu “-ini baru permulaan. Tak semua benda akan terus terkubur.” Dia menarik lengannya yang ditarik oleh ACP Helmi.
“Ressa.” ACP Helmi mengetap gigi seperti menghalangnya untuk terus bercakap apa-apa lagi. Dia memandang ke arah lelaki yang bergelar Dato itu.
“Hidup ni seperti permainan catur, kita tak boleh gerakkan buah catur dengan melulu..” lelaki itu tersenyum sambil memberi isyarat agar dia turut bermain sekali.
Dia menarik kerusi dengan perlahan, bungkusan kertas yang mengandungi filem gambar diletakkan di atas meja. Beg sekolah diletakkan di kaki kerusi.
“Kamu akan kehilangan semuanya kalau kamu tak fikir betul-betul langkah yang kamu nak ambil.” Lelaki itu menggerakkan Kuda dan menangkap beberapa buah catur Pion miliknya. Lelaki itu tersenyum bangga apabila hampir menang.
“Check-” Katanya sambil memandang ke arah lelaki itu selepas menggerakkan buah catur miliknya, “-mate.”
“Dato akan kehilangan semuanya kalau Dato tak fikir betul-betul langkah yang Dato ambil.” Dia tersenyum lebar dan meninggalkan kedua-dua lelaki itu.
****
Dia memandang kamera litar yang diletakkan di tepi dinding yang berhadapan dengan lokap yang menjadi pusat tahanan sementara buat pesalah. Lokap kecil itu agak terasing dari yang lain.
“Puan, ini dia rakaman kamera litar waktu suspek melarikan diri.” Ren menyerahkan sebuah tablet yang sedang mempamerkan video rakaman kamera litar di kawasan itu.
Kelihatan suspek sedang mencungkil kunci pintu lokap dengan sesuatu yang nipis dan panjang seperti pin sebelum melepaskan diri. Dia memandang ke arah pintu lokap.
“Dia jatuhkan..” Dia menyerahkan tablet kepada Ren semula dan mendekati pintu lokap. Perlahan-lahan dia mencangkung sambil mencari sesuatu berdekatan pintu lokap.
Ren menyerah sapu tangan kepadanya apabila dia menunjukkan sesuatu di atas lantai. Dia mengambil dawai sepanjang berukuran 3 inci lebih dengan tangannya beralaskan sapu tangan yang diberikan oleh Ren.
“Apa-” Ren duduk mencangkung di sebelahnya, “-paperclip?” Ren membesarkan mata.
“Tak mungkin.. semua poket baju dan seluar dia kosong sebelum dimasukkan ke lokap.” Dia membungkus klip kertas yang diluruskan dan digunakan untuk membuka kunci mangga pada pintu lokap.
“Siapa yang jaga di sini hari tu?” Dia berdiri dan memandang sekeliling. Ren menyerahkan fail kepadanya.
“Teressa Sophia!” ACP Helmi menjerit namanya sambil berjalan mendekati mereka berdua. Dia menutup fail yang diberikan oleh Ren dan menyembunyikan klip kertas yang dibungkus tadi ke dalam poket seluar.
Yes Tuan,” Dia memberi tabik hormat sambil mengepit fail di tangan kirinya.
“Apa yang kamu fikir tadi?. Dato Hamid bukan sembarangan orang yang kamu boleh buat main. Kamu sedang jolok sarang tebuan!. ” Merah muka ACP Helmi memandangnya namun antonasi suara kedengaran perlahan seperti berbisik. Ren tunduk memandang ke lantai apabila menerima renungan dari ACP Helmi.
“Saya tak rasa saya ada buat apa-apa yang salah, Tuan. Memukul, tidak.. mengugut pun tidak.” Katanya dengan nada agak bersahaja.
ACP Helmi menunjuk ke mukanya sambil mengetap bibir. Kembang-kempis hidung ACP Helmi menahan amarah. Mungkin kerana reaksi yang amat bersahaja darinya.
“Jangan jolok sarang tebuan Ressa. Takut tak cukup tanah kamu berlari nanti.” ACP Helmi berkata dengan nada perlahan sambil sesekali mata lelaki itu mengerling ke arah kamera litar di belakangnya.
“Saya dah sediakan kayu api, racun serangga pun sudah tersedia. Jadi buat pilihan cepat, Tuan nak ikut yang mana.. sebab bila api merebak, susah nak padam.” Dia menghadiahkan senyuman buat ACP Helmi sebelum meninggalkan lelaki itu.
“Ingat apa dah jadi dengan mak dan ayah kamu Ressa. Apa yang jadi bila kamu bertindak tanpa berfikir.” Dia memberhentikan langkah. Tangannya digenggam kuat bila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ACP Helmi. Dia kemudian berpaling menghadap ACP Helmi.
“Dan siapa penyebab semua tu?” Dia dan ACP Helmi bertikam pandangan. Pandangannya mula terasa berkaca, namun sebelum air mata jatuh ke atas pipi, dia berpaling dari ACP Helmi dan meninggalkan lelaki itu bersama Ren yang setia di sisinya. 

No comments:

Cinta Yang Akan Selalu Aku Rindu 37